Friday, October 29, 2010

DENDAM TERSEMAT

Kesunyian malam itu menusuk kalbu Jeremy. Kegelisahan mencengkam sanubarinya. Entah ke mana lagi hendak mengadu? Meminta bantuan daripada orang lain sudah tidak sanggup lagi rasanya. Ligat benaknya memikirkan masalah yang dihadapi. Namun, segalanya menemui jalan buntu. Air yang hendak mengalir keluar melalui celah-celah mata dipaksanya supaya tidak membasahi pipinya itu. Sudah tiga hari dia tidak ke sekolah. Ini masuk kali yang ketiga dia akan menerima hukuman berat daripada pihak sekolah. Bagi mereka yang tidak mengetahui masalahnya, pasti akan menganggapnya kaki ponteng. Pelajar yang tidak berdisiplin.


“Ah, mengapa tiada keadilan di dunia ini? Siapa lagi yang dapat membantu? Masalah ini terlalu berat rasanya. Aku tak sanggup lagi menyusahkan ibuku. Aku tidak mahu melihat mukanya pedih. Sampai bila aku harus menempuhi dugaan ini?”, gelora hati Jeremy yang tidak tahan dengan masalah yang dihadapinya itu.


Fikirannya melayang sejenak memikirkan peristiwa yang menimpanya dua bulan lepas. Masa itu dia tahu bahawa dia telah dituduh pelajar sekelasnya sendiri. Padahal, dia tidak pernah melakukan perkara itu. Disebabkan dia seorang yang tidak mahu melawan gurunya dan malu menegakkan kebenaran, telah menyebabkan dia terpaksa menerima hukuman yang dijatuhkan oleh pihak sekolah.


“Jeremy yang curi wang Fatina. Saya nampak Jeremy membelek-belek beg Fatina. Lepas itu, dia pegang dompet Fatina. Kalau cikgu tak percaya, tanya Tommy.”, kata Julian sambil menunjukkan ke arah Jeremy.

“Awak pastikah Jeremy yang melakukannya?”, Tanya Cikgu Terry untuk mendapatkan kepastian daripada Julian.

“Betul cikgu. Saya dan Tommy nampak dia yang curi.”, tegas Julian untuk mencuri keyakinan Cikgu Terry.


Jeremy telah dibawa oleh Cikgu Terry ke bilik guru. Memang pada mulanya Jeremy bermati-matian tidak mahu mengaku. Dia tidak mencuri wang tersebut. Namun, tuduhan itu amat berbisa. Tuduhan itu telah menbuatkan dia dipersalahkan oleh Cikgu Terry. Cikgu Terry yang terkenal dengan sikap ganasnya telah menengking Jeremy. Cacian Cikgu Terry yang kesat-kesat hinggap ke telinga Jeremy. Tanpa usul periksa Cikgu Terry terus mempercayai kata-kata Julian . Julian anak orang ternama di desa itu. Sebut sahaja nama En. Bowi , pasti semua orang kenal. En. Bowi usahawan yang berjaya di desa itu. En. Bowi banyak membantu desa itu menjadi desa contoh. Desa itu telah berjaya melahirkan usahawan muda yang berjaya disebabkan oleh En. Bowi.


Jeremy pula jauh sekali bezanya dengan status Julian. Bak bumi dengan langit bezanya. Sudah tiga tahun bapanya meninggalkan Jeremy dan ibunya. Tanpa sebarang pesanan diberikan kepada mereka. Jauh sekali hendak sesuap nasi. Ibunya pula hanya bekerja sebagai penebang mulung. Kadang-kadang gajinya hanya cukup untuk makan sekali sehari. Nasib baik ada rumah peninggalan arwah datuk Jeremy sebagai tempat berteduh. Keadaan rumah yang agak usang menyebabkan mereka selalu bermandikan air percuma setiap kali hujan turun. Hujan yang lebat pasti mengganggu tidur mereka. Pasti mengganggu ketenangan mereka. Kesukaran terpaksa ditempuhi.


Dinding rumah pula dipenuhi lubang-lubang kecil. Cahaya matahari mudah menembusinya. Kemiskinan ini menjadikan merka bahan gurauan penduduk di desa contoh ini. Sudahlah malang, ditmpanya tangga lagi.Memang sudah menjadi asam garam manusia, orang yang miskin selalu dihina, orang yang kaya pula selalu dipuja. Begitulah keadaan yang berlaku kepada keluarga Jeremy. Disebabkan keadaan yang serba kekurangan itu, Jeremy selalu dijadikan bahan ejekan rakan sekolahnya. Kesabaran Jeremy masih di tahap yang tinggi. Namun, sesekali terasa juga pedihnya.


Selain budak-budak sekolah yang sebaya dengannya, orang dewasa juga berganding bahu melemparkan ejekan dan cemuhan kepada Jeremy dan ibunya. Setiap kali dia balik sekolah, pasti ada suara hinaan menyapanya.Jeremy selalu menjadi bahan tuduhan rakan-rakan sebayanya itu, telah beberapa kali dipukul dan dihukum oleh Cikgu Terry. Tanpa pemeriksaan. Tanpa banyak Tanya. Jeremy pasti dihukum. Cikgu yang berambut lurus itu berasal dari hujung desa itu. Dia juga suka memandang rendah kepada Jeremy.


Dia juga ada dendam yang tersemat terhadap keluarga tu. Setaip tuduhan yang dilemparkan kepada Jeremy, dia yang cepat-cepat ingin mengadilnya. Dia memang menunggu peluang untuk mengenakan Jeremy. Jeremy yang baru berusia enam belas tahun belum memahami sepenuhnya. Jeremy tidak tahu perkara yang menyebabkan Cikgu Terry berdendam dengan keluarganya. Setiap kali dia berdepan dengan Cikgu Terry, dia pasti menyambut sindiran berbisa dan cacian tajam daripada Cikgu Terry “Anak orang tak guna! Anak haram! Anak penipu! Bahlul! Tolol! Paloi!”


Dia tetap bertahan dengan sindiran itu walaupun bagai pisau menghiris hatinya. Sikap Jeremy suka berdiam diri dan tidak berani melawan, tidak memaksanya dihina dan diperlakukan oleh mereka yang tidak mempunyai rasa simpati.


Tahun lepas dia pernah dirotan oleh Cikgu Terry sepuluh kali. Seminggu dia tidak selesa duduk. Pedih terpaksa ditahan. Dia dituduh mencalar kereta Cikgu Terry. Jeremy yang dianggap paloi oleh rakan-rakannya telah menjadi mangsa kesalahan mereka. Cikgu Terry yang diselubungi oleh sikap panas baran sangat suka mendengar apabila Jeremy yang dituduh melakukannya.


Kesakitan yang ditanggung Jeremy telah pernah sampai ke pengetahuan ibunya. Dia tidak mahu mengesahkan ibunya. Biarlah dia sendiri yang menanggungnya. Jasa ibunya tidak pernah dilupakan. Kegelisahan jiwa budak setahun jagung itu semakin bertambah kencang sebaik sahaja memikirkan semula masalah yang dihadapinya.


“Mengapa aku yang dipersalahkan?”. Persoalan yang timbul dalam diri Jeremy. Masalah kali ini nampaknya lebih berat daripada sebelumnya. Kali ini, sudah pasti dia dibantai habis-habisan. Muka Cikgu Terry sering terbayang dalam khayalannya. Kejadian itu menjadikan dia ponteng berpanjangan. Ketakutan ini sering menghantui tidurnya. Mimpi ngeri tidak terlepas daripada lenanya.


Namun demikian, ibunya masih belum mengetahui perkara itu. Jeremy seolah-olah ke sekolah tujuh hari itu. Ketakutan ibu mengetahui menyebabkan dia berbuat demikian.

Sepanjang malam itu, Jeremy berjaga. Amat sukar bagi Jeremy melelapkan matanya. Masalah yang dihadapinya kali ini sering terbayang setiap kali sia cuba melenakan dirinya. Berat masalah yang dihadapinya itu. Mungkin kali ini, jika tidak dua puluh, pasti tiga puluh kali dia kena rotan. Pasti dengan senyuman yang lebar Ckigu Terry merotannya. Memang itu dinanti-nantikan oleh Cikgu Terry yang berkulit hitam manis itu.


“Mengapa Si Hitam Manis suka pukul aku? Cikgu-cikgu yang lain taklah sekejam itu. Harap-harap Cikgu Connie akan tolong aku lagi.”, keluh hati Jeremy setiap kali teringatkan Cikgu Terry.


Hanya beberapa jam sahaja lagi matahari akan muncul. Keletihan mula terasa. Akhirnya Jeremy tertidur seketika. Tidurnya itu pasti tidak tenteram. Mimpi-mimpi yang mengerikan sering dihadapinya. Igauan berbisa sering mengganggu tidurnya. Ketakutan semasa jaganya sering terbawa hingga ke tidurnya itu. Namun, dai tetap bersyukur kerana tidurlah satu-satunya peluang untuk meringankan bebannya walaupun seketika. Seketika sahaja bebannya hilang. Sebaik sahaja terjaga dari tidur, sudah pasti bebannya menjadi berat semula. Begitulah keadaan yang dihadapinya.


Lagu-lagu merdu yang kedengaran daripada jam dinding di rumah mula mengusik tidurnya. Lagu-lagu itu menandakan tidurnya dihentikan lagi. Siang tiu pasti membawa masalah kepada Jeremy. Jeremy yang agak lewat tidur pada malam itu, terpaksa membuka matanya untuk melakonkan watak sebagai pelajar yang hendak ke sekolah.


Lakonnya ini yang akan dapat menyembunyikan masalahnya daripada ibunya. Walaupun masih budak hingusan, namun dia sudah pandai menjaga hati ibunya. Dia tidak mahu menyusahkan ibunya dengan masalah yang dihadapinya itu.


Seperti biasa Jeremy berpura-pura ke sekolah. Sebaik sahaja jauh daripada penglihatan ibunya, dia akan membelok ke rumah terbiar berdekatan kebun limau Pak James. Di situlah dia akan bersembunyi daripada masalahnya setiap kali dia takut hendak ke sekolah. Disitulah juga dia akan merenung setiap masalah yang dihadapinya. Sudah hari yang keempat dia tidak ke sekolah. Tuduhan yang dibuat oleh Julian dan rakan-rakannya yang lain menyebabkan dia terpaksa bersembunyi. Dia tahu Cikgu Terry pasti akan percaya seratus peratus dengan tuduhan itu. Dia tahu Cikgu Terry mesti ternanti-nanti kedatangannya ke sekolah. Dia tahu rotan akan digunakan oleh Cikgu Terry kali ini pasti besar dan panjang. Dia tahu kali ini bahawa dia pasti tidak dapat duduk. Lebam kali ini pasti lebih teruk lagi. Teruk daripada sebelumnya.


Sesekali mahu juga rasanya dia hendak menentang tuduhan-tuduhan itu. Dia ingin menjadi berani. Namun, percayakah orang lain kepadanya? Persoalan ini yang selalu menjadikan dia seperti kelu hendak menegakkan keberanian bagi pihaknya.


Masyarakat di sekelilingnya hanya memandang kebendaan. Bagi mereka, orang yang miskin seperti keluarganya tidak boleh diterima pandangannya. Bagi mereka, keluarganya hanya sesuai untuk dijadikan bahan cacian dan penghinaan. Begitulah ragam manusia. Hidup di dunia ini penuh dengan kepura-puraan. Tidak pernah ada kebenaran yang ketara.


“Ah, aku mesti berani! Aku tidak mahu terus begini. Kalau tidak aku akan terus diperbodohkan oleh mereka. Mereka manusia, aku juga manusia. Di mana engkau kebenaran?”, jerit Jeremy dengan sekuat hatinya untuk melepaskan tekanan yang dirasakannya semakin berat. Tekanan out seolah-olah semakin membesar dalam jiwanya. Semakin difikirakannya, semakin berat rasanya.


Tiba-tiba terlintas difikirannya untuk menempuhi rintangan itu. Hendak rasanya dia pergi ke sekolah. Lama dia memikirkannya. Akhirnya, dia bertekad memberanikan dirinya ke sekolah.


Dia tidak mahu terus bersembunyi daripada masalah yang dihadapinnya itu. Dia tidak mahu terus bersembunyi daripada masalah yang ditimbulkan oleh manusia yang tidak mempunyai sifat kemanusiaan. Dia percaya kali ini pasti akan dapat menegakkan kebenaran. Dia tidak mahu terus diperbodohkan oleh orang lain lagi. Masalah yang dihadapinya kali ini perlu diselesaikannya dengan keberanian.


Jeremy juga sebelum ini pernah dibantu oleh guru-guru di sekolahnya dalam menyelesaikan masalahnya. Cikgu Hairulasam, Cikgu Lillian, Cikgu Viel dan Cikgu Pamela yang selalu bersimpati terhadap Jeremy.


Namun, mereka kekadang terpengaruh juga dengan hasutan Cikgu Terry yang sebenarnya mempunyai dendam peribadi terhadap keluarga Jeremy. Dendam Cikgu Terry bermula semenjak peminangannya ditolak oleh Candy sudi pula menerima pemuda dari luar desa itu. Pemuda yang tidak sebangsa dengannya. Oleh itu, dendam itulah yang menberi kegembiraan kepada Cikgu Terry setiap kali merotan Jeremy.


Rahsia Cikgu Terry itu tidak pernah dibongkarnya kepada orang lain. Dia tidak mahu rahsia itu akan menjejaskan kepercayaan rakan gurunya yang lain terhadapnya. Dia guru disiplin di sekolah itu sudah mendapat kepercayaan daripada pengetua untuk menjatuhkan hukuman kepada pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Kepercayaan inilah yang digunakan oleh Cikgu Terry untuk melepaskan dendamnya terhadap Candy dan Jeremy.


Kepercayaan yang diberikan oleh pengetua ini telah disalahgunakan olehnya untuk menghukum dan menghina Jeremy. Jeremy bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Papan Reput.


Setiap kesalahan yang dilakukan oleh Jeremy pasti akan menerima hukuman yang berat, sekurang-kurangnya lima kali rotan di punggung. Manakala pelajar lain yang membuat kesalahan yang paling berat pun hanya sekali rotan. Kalau tidak pun amaran sahaja.


Dendam yang menyelubunginya itulah yang telah menghalangnya untuk bersimpati terhadap Jeremy. Padahal, dia tahu Jeremy selalu menjadi bahan ejekan pelajar lain di sekolah itu. Dia juga tahu kesalahan yang dilakukan oleh Jeremy hanya tuduhan semata-mata. Disebabkan dendam yang sangat mendalam terhadap keluarga Jeremy. Hukuman berat yang dijatuhkan kepada Jeremy pasti akan menggembirakannya.


Setiap kali Jeremy dirotan, jiwanya akan berasa puas. Tuduhan yang dilemparkan kepada Jeremy pada kali ini sangat menarik perhatiannya. Tuduhan yang dibuat oleh Julian, anak usahawan ternama di desa itu pasti digunakannya untuk melepaskan geram terhadap keluarga Jeremy.


“Hah, kali ini dua puluh rotan akan melekat pada punggung anak Si Candy itu! Biar anaknya meras sakit seperti hari ini sakit dulu. Pinangan yang ditolak dulu mesti dibalas.”, hentak hati Cikgu Terry dengan penuh dendamnya.


Sudah empat hari dia menanti ketibaan Jeremy ke sekolah. Empat hari itu, kemarahannya sudah sampai ke tahap yang paling tinggi. Hanya menunggu untuk meletupkannya. Kalau hari keempat ini dia tidak berjumpa Jeremy di sekolah, dia akan ke rumah Jeremy sendiri.


Pada fikirannya, dia mahu Candy sendiri melihat Jeremy dirotan. Dia mahu Candy tahu dendamnya belum padam lagi. Masih membara. Masih bernyala. Marak bernyala.


“Selamat pagi, cikgu”

Kedengaran suara dari luar bilik guru mengganggu lamunan Cikgu Terry terhadap sengsara yang akan dihadapi oleh Jeremy.

“Ada apa, Julian?”

“Begini cikgu. Saya nampak Jeremy sudah ke sekolah hari ini. Semalam cikgu pesan, kalau Jeremy hadir, cepat-cepat beritahu cikgu.”

“Baguslah. Akhirnya datang juga Si Jeremy tu. Lebih kamu balik ke kelas dulu.”

“Baik cikgu.”


Senyuman lebar terpapar pada bibir Cikgu Terry. Senyuman yang pasti akan menyusahkan Jeremy. Senyuman yang pasti akan menyeksa Jeremy. Tanpa berlengah lagi, dia terus menuju ke kelas 4 Bersih yang berada tidak jauh d ri bilik guru itu. Dia mahu menjatuhkan hukuman terhadap Jeremy.


Dendamnya terhadap Candy akan dikenakannya terhadap Jeremy. Jeremy sebelum ini pernah dirotannya sehingga meraung-raung kesakitan. Pernah lebam punggung Jeremy dirotannya. Kesalahan Jeremy kali ini akan dijadikannya penawar sebenar dendamnya itu. Lagipun tuduhan menceroboh kantin sekolah merupakan kesalahan yang agak berat juga. Dia mahu kesempatan ini digunakan sepenuhnya. Dia mahu Jeremy meraung betul-betul kali ini. Dengan penuh semangat, dia melangkah ke kelas 4 Bersih itu.


Apabila tiba di kelas itu, Jeremy yang sedang duduk di kerusi terkejut melihat Cikgu Terry dengan muka ganasnya. Cikgu Terry terus menarik tangan Jeremy dan mengheretnya keluar dengan kasarnya tanpa meminta kebenaran daripada Cikgu Christy yang sedang mengajar di kelas itu. Cikgu Christy pun terkejut dengan tindakan Cikgu Terry itu. Manakala, semua pelajar di kelas itu terpinga-pinga ketakutan. Dendam yang selama ini membara dalam diri Cikgu Terry telah merasuknya. Dia lupa akan kehadiran cikgu Christy di kelas itu.


Setibanya di luar kelas, dia terus merotan punggung Jeremy dua kali. Kesakitan Jeremy bukan kepalang. Air matanya tiba-tiba membasahi pipinya. Raungan Jeremy memecah ketenteraman sekolah itu. Cikgu Christy menunjukkan rasa simpati terhadap Jeremy. Melihat kesakitan yang ditanggung oleh Jeremy itu, Cikgu Christy cuba menasihati Cikgu Terry agar tidak bertindak keterlaluan. Namun, dendam yang memenuhi dirinya itu tidak membenarkan nasihat Cikgu Christy melemahkan semangatnya merotan Jeremy.


Tanpa mengendahkan Cikgu Christy dan tanpa mengendahkan kesakitan yang dialami Jeremy. Cikgu Terry dengan segila-gilanya merotan Jeremy bertubi-tubi sambil berkata,”Biar kamu rasa rotan ini. Anak jahil! Bodoh! Anak penjahat! Nah, ambil ini!.” Rotan itu dihalakan oleh Cikgu Terry bertubi-tubi menuju punggung dan belakang Jeremy. Jeremy yang tidak berdaya lagi terpaksa menerima pukulan itu. Kesakitan yang ditanggungnya itu menyebabkan dia tidak berhenti-henti meraung.


Penglihatan Jeremy mula kabur. Semakin lama semakin kabur dan akhirnya dia tidak menyedari keadaan berlaku di sekelilingnya. Dia tidak dapat melihat keganasan Cikgu Terry lagi. Matanya tertutup rapat. Mulut tertutup rapat. Telinganya menjadi pekak. Semua anggota badannya tidak dapat merasa apa-apa lagi.


Melihat keributan itu, Cikgu Christy mula menjerit kepada Cikgu Terry dan menahan rotan yang digunakan untuk memukul Jeremy itu. Kekuatan Cikgu Terry tidak dapat dilawan oleh Cikgu Christy yang hanya berbadan kecil. Kegilaan Cikgu Terry semakin menjadi-jadi sehingga tidak menyedari bahawa Jeremy sudah pengsan. Rotan yang digunakannya mula pecah. Dia tidak pedulikan apa-apa yang berlaku. Kepuasan hati amat penting baginya. Dendamnya yang sangat membara terus menghantuinya.


Cikgu Christy terus meminta bantuan daripada Cikgu Pamela di kelas 4 Adil dan Cikgu Hairulsam di kelas 4 Cerdik. Tanpa berlengah lagi, ketiga-tiga mereka menahan Cikgu Terry daripada terus memukul Jeremy. Akhirnya, kegilaan Cikgu Terry dapat dihentikan. Dia mula lemah dan tertunduk keletihan.


Jeremy yang sudah tidak sedarkan diri lagi terus dipangku oleh Cikgu Hairulsam. Cikgu Christy cuba menenangkan Cikgu Terry yang sememangnya masih dalam keadaan seperti orang hilang akal. Akhirnya, Cikgu Terry ketawa sendirian tanpa henti-henti tanda kepuasan hatinya. Kegembiraannya jelas terbayang. Dendamnya terhadap Candy telah dilepaskannya kepada Jeremy yang tidak mengetahui permusuhan itu. Jeremy masih dalam keadaan pengsan telah dibawa ke hospital oleh Cikgu Pamela dan Cikgu Hairulsam.


“Kalaulah aku tahu keaadan seperti ini berlaku, awal-awal lagi aku tahan Cikgu Terry tadi. Aku fikir Cikgu Terry bertindak seperti biasa. Rupa-rupanya dia hilang kawalan.”, kesaln cikgu Christy yang simpati melihat keadaan Jeremy itu.


Cikgu Pamela juga turut bersimpati dengan keadaan yang menimpa Jeremy itu. Melihat keadaan Jeremy yang tidak sedarkan diri itu, Julian dan rakan-rakannya yang lain turut berasa kesal kerana mereka telah melemparkan tuduhan terhadap Jeremy. Mereka tahu Jeremy tidak bersalah. Mereka sengaja menuduh Jeremy kerana mereka benci melihat orang miskin belajar di sekolah itu.


Mereka benci melihat kekurangan yang ada pada Jeremy. Mereka benci terhadap kesusahan yang dihadapi oleh keluarga Jeremy. Kebencian mereka ini telah menyebabkan keadaan Jeremy sedemikian. Jeremy yang tidak tahu kesalahannya menjadi mangsa kesalahan mereka.


Jeremy yang telah dituduh menceroboh masuk ke kantin sekolah oleh pelajar lain yang berstatus tinggi di sekolahnya terpaksa menerima hukuman yang tidak masuk akal. Budak-budak yang berusia enam belas tahun diperlakukan sebegitu hanya kerana dendam berkurun lamanya. Kerasionalan manusia pasti hilang jika dendam dan benci dibiarkan menguasai diri.


Dendam dan benci yang kekadang tidak tahu arah puncnya mungkin akan membunuh mereka yang tidak mengeri apa-apa yang berlaku. Dan akhirnya, Cikgu Terry telah dibawa ke rumah sakit jiwa. Pada masa itu, Jabatan Pendidikan menolong keluarga Jeremy dan menbiayai perbelanjaan persekolahan Jeremy . Julian dan rakan-rakannya meminta maaf dari Jeremy. Jeremy pun memaafkan mereka. Sekarang, Jeremy menjadi kawan sejati Jeremy.

No comments:

Post a Comment